Kronikel One Piece

Write a review
RM28.00
Ask a question
016
Out of stock

Minimum quantity for "Kronikel One Piece" is 1.

Judul Buku: "Kronikel One Piece – Sejarah Di Sebalik Manga"

Penulis Buku: Amir Zayyanid

Pengulas Buku: Saidi Saiful Bahri

Seperti nama judulnya, Kronikel One Piece merupakan sebuah buku yang memerihalkan sejarah perlanunan secara umum. Buku ini secara ringkas mengandungi dua bahagian utama iaitu Mengenali Dunia Lanun dan Menelusuri Riwayat Lanun Realiti.

Bahagian pertama buku ini dibuka dengan bab yang mengimbau peranan lanun yang meliputi rentang waktu yang sangat panjang. Bermula dari tahun 75SM sehingga kurun ke-21M, semuanya dikisahkan dalam hanya beberapa helai mukasurat. Pada bab pertama ini sahaja, Amir menceritakan kepada para pembaca tentang kisah lanun yang menangkap Julius Caesar si maharaja Rom, menakluk Eropah, meneroka Amerika, menggugat tiga kuasa Asia Timur, dan bahkan mencipta armada lanun yang cukup ampuh untuk mencabar kapal-kapal perang Portugis, Cina dan British.

Bunyi seperti ‘Straw Hat Grandfleet’ bukan? Itulah yang termuat dalam kisah seorang lanun wanita bernama Ching Shih. Amir juga tidak tinggal dari mendendangkan kisah keperwiraan PASKAL semasa menceritakan tentang lanun-lanun moden di Somalia.

Memasuki bab yang seterusnya, Amir membedah pula makna di sebalik perkataan ‘lanun’ atau ‘pirate’ dan beberapa istilah sinonim yang lain seperti buccaneer, privateer dan corsair. Bagaimana setiap satunya membawa makna dan gambaran peranan yang tersendiri, sama seperti istilah kaizoku, Shichibukai, Yonkou, Worst Generation dan Rookie yang digunakan oleh Eiichiro Oda di dalam One Piece.

Serba-sedikit, penerangan yang diberikan oleh Amir ini mampu menyeimbangkan sudut pandang kita terhadap lanun yang mungkin berbeza sebelum ini. Terutama bagaimana seorang wira bagi suatu pihak boleh disebut sebagai penjenayah di mata dunia – suatu corak pemikiran-bukan-binary yang perlu terutama dalam mempelajari sejarah.

Dalam bahagian pertama ini juga, Amir memuatkan bab yang memperkenalkan kepada para pembaca tentang beberapa jawatan yang wujud dalam sesebuah kru lanun – bermula dari puncak hierarki seperti kapten dan first mate hingga ke jawatan paling rendah seperti si tukang mop dek kapal (swabber). Dalam bab ini, Amir tidak lupa untuk menyebutkan nama-nama watak One Piece seperti Luffy, Shanks, Rayleigh, Law, Chopper, Brook, Sanji dan lain-lain sebagai contoh dari dunia One Piece.

Begitu juga dengan senjata-senjata yang digunakan oleh lanun terutama di Zaman Perlayaran, ini juga dimuatkan oleh Amir di dalam Kronikel One Piece. Pedang, senapang, bom tangan dan malah jenis peluru meriam dituliskan secara ringkas oleh Amir di mana setiap satunya disertakan dengan gambar sebagai bahan bantu.

Selesai membekalkan para pembaca dengan pengenalan terhadap dunia lanun, Amir membawa pula pembaca menelusuri riwayat hidup beberapa watak sejarah sebenar yang namanya menjadi inspirasi kepada watak-watak di dalam One Piece. Walaupun penerangannya tidak meliputi seluruh watak yang terkandung dalam One Piece, kisah hidup 10 orang figura sejarah yang ditampilkan oleh Amir cukup mengasyikkan – seimbang antara watak lelaki dan perempuan.

Watak pertama yang dibedah sejarahnya oleh Amir tidak lain dan tidak bukan adalah Gol D. Roger sendiri, yang berkongsi inspirasi daripada Olivier Levasseur, seorang lanun Perancis. Kemiripan kisah di antara mereka berdua sangat ketara terutama menerusi kisah penyimpanan harta-karun terbesar di sebuah tempat rahsia, dijatuhi hukuman mati di khalayak ramai, wasiat terakhir yang mendorong kepada era pencarian harta-karun, dan bahkan kewujudan batu-batuan misteri umpama Poneglyph mewarnai kisah hidup watak ini.

Dan… terdapat 10 watak secara keseluruhan yang dibahaskan riwayat hidup mereka secara terperinci oleh Amir. Roronoa Zoro, Trafalgar Law, Big Mom dan bahkan Urouge adalah antara yang dimuatkan di dalam buku ini.

Setiap satunya membingkiskan latar sejarah yang tersendiri. Misalnya, kisah berkenaan Big Mom bakal membawa pembaca menelusuri sejarah awal kolonisasi British ke atas New Zealand. Kisah Urouge pula memerihalkan perang salib di antara Muslim di Afrika Utara dan Kristian di Sepanyol dan Portugis. Sementara kisah Xu Yabao berkisar mengenai peperangan yang melibatkan armada lanun Cina menentang British dan Cina di Laut Cina Selatan.

Dalam erti kata lain, pembaca tidak hanya disadurkan dengan biografi sesebuah watak sejarah, tetapi juga peristiwa-peristiwa penting yang berlaku seputar watak berkenaan. Di celah-celah penceritaan sejarah yang disampaikan, Amir turut menyelitkan perkaitan dengan babak yang berlaku dalam dunia One Piece sebagai nilai tambah yangkhusus buat para penggemar One Piece.

Dengan disertakan bersama pelbagai gambar – berupa peta, imej penerangan dan bahkan potret watak sejarah – Kronikel One Piece: Sejarah Di Sebalik Manga sememangnya merupakan sebuah buku yang sangat informatif perihal dunia perlanunan secara umum, dan sejarah di sebalik sebahagian latar penceritaan One Piece secara khusus.

Dan sebagai nota sampingan, Kronikel One Piece merupakan buku pertama terbitan Patriots Publication yang dilengkapkan dengan indeks yang menyenaraikan kesemua kata nama khusus yang terdapat di dalam buku berkenaan – suatu ciri yang menambahkan lagi nilai ilmiah pada buku ini.

No reviews found